Pelan Strategik 2010 - 2015

PELAN STRATEGIK
JABATAN KERAJAAN TEMPATAN (2010 - 2015)

 


Pengenalan

Pelan Strategik ini merupakan langkah pertama dalam menentukan hala tuju JKT untuk dijadikan panduan kepada semua pegawai bagi tempoh 6 tahun ke hadapan, iaitu dari tahun 2010 hingga tahun 2015. Pelan Strategik ini mengandungi pernyataan hasrat, perancangan dan aktiviti serta inisiatif penyampaian perkhidmatan sebagai menyambut cabaran dan memenuhi keperluan pelanggan serta pihak stakeholders.Impak sebenar pelan ini terletak kepada pelaksanaan strategi dan tindakan yang disarankan. JKT akan mengkaji semula pelan ini dari semasa ke semasa untuk membuat penambahbaikan penambahbaikan sesuai dengan perubahan yang berlaku.


Latar Belakang

Di bawah Senarai Kedua, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Tempatan adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Perkara 76 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh bagi maksud menentukan persamaan undang-undang dan dasar membuat undang-undang mengenai Kerajaan Tempatan. Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai penubuhan Majlis Negara Bagi Kerajaan Temptan (MNKT) bagi menentukan dasar negara untuk menggerak, memaju serta mengawal Kerajaan Tempatan. Jabatan Kerajaan Tempatan  (JKT) telah ditubuhkan pada 24 Mei 1946 dan merupakan salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Berikutan penyusunan semula Kabinet pada 18 Julai 1978, nama Kementerian ini telah ditukar kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Skop dan tugas JKT adalah berdasarkan 2 perkara berikut:

  1. Undang-Undang
    • Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)
    • Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)
    • Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 174)
    • Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984
    • Undang-Undang Kecil di bawah Akta 171
       
  2. Keputusan MNKT dan Jemaah Menteri, Dasar-Dasar Kerajaan, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Dasar

JKT perlu memastikan halatuju strategiknya adalah seiring dengan halatuju yang ditetapkan oleh KPKT. Fungsi dan peranan JKT adalah seperti pernyataan berikut:

          "Membantu dan membimbing Pihak Berkuasa Tempatan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan perbandaran
           yang berkualiti,  kemudahan-kemudahan  sosial  dan  rekreasi  bagi  memenuhi  keperluan  penduduk  serta
           meningkatkan peluang-peluang ekonomi yang seimbang"


Peranan JKT

  • Membantu membimbing dan menggalakkan PBT dalam merancang, mengawal dan melaksanakan program-program pembangunan sosio-ekonomi dan perkhidmatan perbandaran ke arah pembentukan masyarakat makmur, sejahtera dan berdaya maju selaras dengan matlamat pembangunan negara;
  • Menentukan PBT wujud sebagai unit-unit Kerajaan Tempatan yang cekap dan berupaya dari segi pentadbiran dan kewangan agar mereka dapat menyelia dan memberi perkhidmatan-perkhidmatan yang moden dan bermutu untuk faedah dan kesejahteraan masyarakat tempatan yang ditadbirkan;
  • Menentukan PBT dapat memainkan peranan yang aktif dan berkesan dalam pembangunan kawasan Bandar dan luar Bandar melalui pelaksanaan projek-projek prasarana, perniagaan dan separuh perniagaan dan menentukan aktiviti-aktiviti pembangunan peringkat PBT dijalankan mengikut kehendak-kehendak dasar-dasar Kerajaan yang berteraskan 1Malaysia: "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan";
  • Menentukan PBT dapat memainkan peranan sebagi Unit Pentadbiran Kerajaan yang berkesan dari segi mendapatkan penyertaan agensi swasta, NGO, CBO serta rakyat dalam hal ehwal tempatan;
  • Membentuk dan menjadikan PBT sebagai pihak berkuasa perancangan yang berkesan, berkebolehan dan cekap dalam menjalankan tugas dengan sempurna di peringkat tempatan dengan mengikut perancangan yang baik dan sistematik bagi mengawal aktiviti-aktiviti pembangunan di kawasan Bandar dan luar Bandar melalui kaedah-kaedah yang telah ditetapkan; dan
  • Mewujudkan dan mengekalkan hubungan kerjasama yang baik di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dan juga agensi-agensi Kerajaan yang lain di semua peringkat dalam segala hal berkaitan dengan dasar dan pentadbiran Kerajaan Tempatan.


Teras Strategik

7 teras strategik utama dikenal pasti bagi membantu JKT melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan serta menangani cabaran-cabaran yang berbangkit dalam merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan.

  • Teras 1 : Pemberian dan Bantuan Kewangan Kerajaan Persekutuan kepada PBT
    • Strategi :
      1. Penyaluran bantuan kewangan berbentuk Geran Tahunan dan Sumbangan Membantu Kadar dari Kerajaan Persekutuan.
      2. Bantuan Projek-Projek Pembangunan Kecil di Kawasan PBT.
  • Teras 2 : Penggubalan Dasar dan Garis Panduan
    • Strategi:
      1. Memastikan perundangan dan peraturan selaras dengan keperluan dan kehendak semasa.
  • Teras 3 : Inovasi dan Penambahbaikan PBT
    • Strategi:
      1. Meningkatkan daya saing negara melalui sistem penyampaian perkhidmatan PBT.
      2. Memastikan pembangunan mampan melalui penyertaan rakyat.
  • Teras 4 : Perkhidmatan Kesihatan Persekitaran, Penyenggaran Fasiliti dan Perparitan Bandar
    • Strategi:
      1. Meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui program kesihatan persekitaran, kebersihan dan penyenggaraan fasiliti bandar yang berkesan.
  • Teras 5 : Pelaksanaan Program Keselamatan Awam dan Kawalan Bangunan
    • Strategi :
      1. Meningkatkan kawalan bangunan dan keselamatan awam di PBT.
  • Teras 6 : Peningkatan Program ICT
    • Strategi :
      1. Memperkasa penggunaan ICT untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian PBT.
  • Teras 7 : Pembangunan dan Kemajuan Kampung Baru
    • Strategi :
      1. Meningkatkan kualiti hidup penduduk di Kampung-kampung Baru di  Semenanjung Malaysia.


Elemen Penentu Kejayaan

Kunci kepada kejayaan pelaksanaan program-program yang dirancang oleh JKT adalah melalui perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan. Elemen-elemen berikut merupakan faktor utama penentu kejayaan pelan strategik JKT.

  • Pembangunan Modal Insan
    • Tumpuan akan diberikan ilmu dan kepakaran modal insan JKT melalui program pembangunan kompetensi yang sesuai dalam bidang-bidang kritikal dan strategik.
  • Pengurusan Kewangan
    • Pengurusan kewangan akan diperkemaskan bagi memastikan setiap program dilaksana dengan lebih  cekap dan berkesan agar memenuhi sasaran objektif yang ditetapkan.
  • Pemantauan Projek
    • Pemantauan projek perlu dilaksanakan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut skop dan jadual yang ditetapkan.
  • Kajian Impak Projek
    • Kajian Impak dilaksanakan untuk menilai keberkesanan projek untuk memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
  • Kajian Kepuasan Pelanggan
    • Setiap program yang dilaksanakan akan ditentukan keberkesanannya berdasarkan persepsi pelanggan yang menerima perkhidmatan. Tindakan pembetulan dan penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan diterima dan memberi kepuasan.
  • Kajian Semula Pelan Strategik
    • Kajian Semula Pelan Strategik JKT akan dijalankan pada tahun 2013 untuk menentukan keberkesanan pelaksanaan teras strategik dan tahap penyampaian sasaran prestasi yang ditetapkan. Kajian Semula tersebut akan turut mengambil kira senario baru perubahan persekitaran dan tumpuan strategik JKT.

  •  
  • Print
  • Email this page

::Hakcipta©2017 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT KPKT)::
Aras 25-29, 
No.51, Persiaran Perdana Presint 4,
62100 Putrajaya Malaysia
Tel: 03-8000 8000     Faks: 03-8891 3090
E-mel: jkt[at]kpkt[dot]gov[dot]my (webmaster sahaja)
Untuk e-melkan aduan sila klik di sini.

Paparan terbaik: IE9 / Firefox / Google Chrome resolusi melebihi 1024x768px
Penafian: Jabatan Kerajaan Tempatan tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini.
Total count : 558707 Tarikh Kemaskini : 22-11-2017