Perutusan Ketua Pengarah

PERUTUSAN KETUA PENGARAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang Berusaha Pengarah-pengarah Bahagian dan Ketua-ketua Perunding, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan Tempatan yang saya kasihi sekalian.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

  1. Syukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan izinNya jua, dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari ini. Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir dan memberikan komitmen ke atas penganjuran Majlis pada pagi ini.

 

  1. Tidak terlalu lewat kiranya untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2017 kepada semua warga kerja Jabatan Kerajaan Tempatan. Semoga tahun 2017 ini, akan memberikan lebih kebaikan, kejayaan, kerahmatan dan kesejahteraan kepada kita semua. Tidak kira dalam bidang atau perkara apa sekalipun, peribadi, kerjaya, sosial dan sebagainya, sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan tahun 2017 ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya.

 

PENGHARGAAN

  1. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai-pegawai yang telah bertukar keluar dan bersara pada tahun 2016. Terutamanya kepada mantan Ketua Pengarah JKT sendiri iaitu Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ab Rahman bin Awang yang telah bersara wajib pada 22 Oktober 2016.

 

  1. Tidak dilupakan juga kepada Yang Berusaha Tuan Haji Zainal Abidin bin Saidun, mantan Timbalan Ketua Pengarah (Perundingan dan Perundangan), Yang Berusaha Tuan Haji Ir. Redza Bin Ghulam Rasool, mantan Ketua Perunding Kejuruteraan Awam. Dan juga Puan Aminah Binti Abd Rahman, mantan Ketua Perunding Kawalan Pemajuan. Ramai lagi pegawai-pegawai lain yang telah bertukar keluar JKT, atas sebab pertukaran pusingan kerja dan kenaikan pangkat. Terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka atas sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang bertugas di Jabatan Kerajaan Tempatan. Semoga Allah s.w.t mengurniakan sebaik-baik balasan dan mengurniakan pahala yang berganda di atas sumbangan yang telah diberikan.

 

  1. Patah tumbuh, hilang berganti. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Datang kepada semua pegawai-pegawai baharu ke Jabatan Kerajaan Tempatan. Semoga kita akan dapat bekerjasama dengan baik dalam semua tugas-tugas yang diarahkan oleh pihak Kementerian dan juga tugas-tugas hakiki JKT sendiri.

 

JKT 2017

  1. Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi, pada tahun ini, banyak program yang telah dirancang oleh pihak Kementerian dan Jabatan. Ini merupakan tahun yang mencabar kepada KPKT dan JKT sendiri kerana perlu melaksanakan banyak program berskala besar dengan bajet berhemah berskala kecil. Antara program yang perlu dilaksanakan adalah:

 

  • Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT);
  • Karnival Kesejahteraan Rakyat Bandar Tahun 2017;
  • Pelancaran Pelan Kesejahteraan Bandar;
  • Pelancaran Pelan Transformasi PBT;
  • Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan PBT (JPPBT);
  • Karnival Sukan Dwi-Tahunan Antara PBT;
  • Persidangan Kesihatan Persekitaran; dan
  • Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan.

 

  1. Saya menyeru agar semua warga JKT mengambil perhatian dan memberikan komitmen penuh ke atas penganjuran program-program tersebut. Bukan sahaja sebagai urus setia dalam jawatankuasa yang ditubuhkan, malah sebagai peserta dan dan sama-sma menyumbang idea bagi memastikan kelancaran program yang telah dirancangkan. Sama-samalah kita menjayakan program-program tersebut untuk memartabatkan KPKT umumnya dan JKT khususnya.

 

  1. Pada tahun ini, JKT juga akan cuba untuk mendapatkan pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan Pensijilan MS ISO 1900:2008. Diharap agar semua warga JKT dapat memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan hasrat ini dicapai.

 

  1. Buat masa ini, saya yakin dan percaya warga JKT sentiasa berusaha untuk mengangkat JKT sebagai Jabatan terbaik di kalangan Jabatan-jabatan di KPKT.  Namun pada saya ia tidak memadai kerana JKT perlu menjadi sebuah Jabatan penanda aras dalam sistem penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus terbaik sektor awam di negara ini dan dalam masa yang sama mesti menjadi penggerak dalam arus pemodenan dan transformasi Negara.

 

  1. Warga JKT juga perlu mengamalkan budaya kerja yang cemerlang kerana amalan tersebutlah yang menentukan seseorang penjawat awam menjadi aset penting ke arah mewujudkan Perkhidmatan Awam yang produktif dan berkualiti. Bagi mencapai kecemerlangan, nilai kualiti haruslah diutamakan di semua peringkat dan pada setiap masa. Kita perlu bersaing meneruskan usaha-usaha adaptasi positif, kreativiti dan inovasi baru. Ia bukan sahaja baik untuk Jabatan tetapi ia ajuga adalah untuk kebaikan career tuan-tuan dan puan-puan.

 

KEPENTINGAN INTERGRITI

  1. Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan pesanan kepada tuan-tuan dan puan-puan, berkenaan kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam. Kita semua harus menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab dan membuang terus kepentingan diri sendiri agar tidak terjerumus dengan gejala rasuah di kalangan penjawat awam yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan sentiasa mengikuti setiap peraturan dan garis panduan dalam menjalankan tugas masing-masing, terutamanya perkara yang melibatkan urusan kewangan.

 

  1. Jika kita bercakap berkenaan integriti, suka saya mengingati kisah bagaimana seorang kanak-kanak pengembala kambing yang didekati Khalifah Umar ibnu Al-Khatab yang merupakan anekdot yang masyhur bagaimana dia diuji dengan pujukan untuk menjualkan haiwan peliharaannya. Budak gembala itu berkata kambing yang di dalam jagaannya bukan miliknya tetapi milik tuannya, itulah jawapan lurus yang diberikan dengan sikap bertanggungjawab dan dia menyedari walaupun masih anak-anak sifat amanahnya perlu dipertahankan. Lantas Khalifah menguji lagi; “Juallah kambing itu kepada saya, tuan kamu tidak akan tahu”, maka kanak-kanak itu menjawab,’ betul tuan saya tidak akan tahu, tetapi tuan kepada tuan saya akan tahu, Allah Maha Mengetahui”.

 

  1. Itulah manifestasi integiriti yang mempunyai prinsip dan dia tidak menggadai prinsip untuk habuan dunia justeru dia dididik untuk berlaku amanah di mana sahaja dan tidak terliur dengan tawaran material.

 

  1. Apabila menyebut akauntabiliti dan integriti maka sudah tentu ia adalah antara prinsip yang perlu ada dalam setiap penjawat awam dan perlaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan yang disertakan dengan amalan prinsip-prinsip akan dapat memastikan kelicinan jentera kerajaan. Amanah dan integriti merupakan dua perkataan yang saling beriringan dan memerlukan antara satu sama lain justeru dengan amanah itulah lahirnya kepercayaan atau integriti. Saya yakin percaya warga JKT sentiasa menjunjung tinggi nilai akauntabiliti dan intergriti.

 

  1. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan atas segala sumbangan pada tahun 2016 yang lepas. Bagi tahun 2017 ini pula, tahun yang mencabar, maka saya memohon agar semua warga JKT dapat menjalankan tugas dengan baik bagi meningkatkan nama KPKT amnya dan JKT khususnya. Semoga JKT terus sukses dan menjadi Jabatan contoh yang sentiasa dibanggakan.

 

Sekian, terima kasih.


YBhg. Dato' Haji Abu Bakar bin Johar
Ketua Pengarah
Jabatan Kerajaan Tempatan
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan


  •  
  • Print
  • Email this page

::Hakcipta©2014 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT KPKT)::
Aras 25-29, 
No.51, Persiaran Perdana Presint 4,
62100 Putrajaya Malaysia
Tel: 03-8000 8000     Faks: 03-8891 3090
E-mel: jkt[at]kpkt[dot]gov[dot]my (webmaster sahaja)
Untuk e-melkan aduan sila klik di sini.

Paparan terbaik: IE9 / Firefox / Google Chrome resolusi melebihi 1024x768px
Penafian: Jabatan Kerajaan Tempatan tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini.
Total count : 489938 Tarikh Kemaskini : 24-06-2017