[ HUBUNGI KAMI ]

Kesihatan Persekitaran

SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
KAWALAN DAN KESELAMATAN MAKANAN

Soalan:

1. Sekiranya saya ada sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan, pihak manakah yang boleh diajukan perkara tersebut?

 

Jawapan:

Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan, anda boleh mengajukan secara terus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berhampiran.

 

Soalan:

2. Pihak manakah yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan kebersihan dan keselamatan makanan?

 

Jawapan:

Pegawai Berkuasa dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

 

Soalan:

3. Bagaimana saya ingin memohon lesen perniagaan makanan?

 

Jawapan:

Anda boleh merujuk kepada Bahagian Pelesenan PBT yang berhampiran dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

 

Soalan:

4. Adakah penjaja makanan ringan dibenarkan berniaga di luar pagar kawasan sekolah?

 

Jawapan :

Berdasarkan Garispanduan Larangan Menjual Makanan Ringan Di Luar Pagar Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penjaja makanan ringan tidak dibenarkan berniaga di luar pagar kawasan sekolah dalam lingkungan jarak 40 meter.

  

Soalan:

5. Apakah keadaan yang menyebabkan sesebuah premis makanan ditutup?

 

Jawapan:

Premis makanan boleh ditutup sekiranya :

  • Tahap kebersihan premis makanan yang kurang memuaskan.
  • Berlakunya kes penyakit berjangkit berkaitan makanan seperti kolera, tifoid atau keracunan makanan.
  • Tidak memenuhi syarat-syarat perlesenan juga boleh menyebabkan sesebuah premis makanan ditutup.

 

SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
KAWALAN PENYAKIT DAN VEKTOR

Soalan:

1. Apakah Penyakit Demam Denggi?

 

Jawapan:

Penyakit demam denggi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes. Setakat ini belum ada ubat atau vaksin yang boleh merawat penyakit demam denggi secara spesifik.

 

Soalan:

2. Apakah tanda dan gejala apabila diserang demam denggi?

 

Jawapan:

Pesakit akan mengalami demam kuat secara mengejut, ruam merah pada kulit, sengal-sengal pada otot, sakit pada sendi, belakang mata dan sakit kepala serta pendarahan pada badan, hidung dan mulut, hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Sekiranya anda mengalami tanda-tanda dijangkiti demam denggi, sila dapatkan rawatan segera di klinik-klinik yang berhampiran.

 

Soalan:

3. Bagaimana seseorang boleh dijangkiti demam denggi?

 

Jawapan:

Seseorang boleh dijangkiti demam denggi melalui gigitan nyamuk Aedes betina yang infektif. Nyamuk Aedes  ini dapat dikenali melalui belang hitam putih pada kaki dan badannya. Nyamuk ini  aktif menggigit pada awal pagi iaitu antara jam 5.00 – 7.00 pagi dan senja antara jam 5.00 – 7.00 petang.

 

Soalan:

4. Di manakah tempat-tempat yang biasanya nyamuk Aedes membiak?

 

Jawapan:

Nyamuk Aedes biasanya membiak di dalam rumah dan di luar rumah atau di mana-mana yang terdapat air jernih yang bertakung seperti di bawah takungan peti ais, kolah mandi, pasu bunga, tempayan dan sebagainya.  Di luar rumah pula seperti di dalam tayar yang menakung air, saluran air hujan, tin kosong, tong air, tunggul buluh, pelepah daun yang menakung air dan sebagainya. Kitaran hidup nyamuk Aedes ialah 1 minggu bermula dari telur, jentik-jentik, kepompong dan seterusnya menjadi nyamuk dewasa.

 

Soalan:

5. Bagaimanakah cara untuk mengawal dan mencegah penyakit demam denggi?

 

Jawapan:

Cara bagi mengawal demam denggi ialah dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan cara mengamalkan kebersihan persekitaran rumah dan tempat bekerja. Selain itu, masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam pencegahan dan pengawalan denggi. Salah satu aktiviti yang boleh menyumbang kepada perkara ini adalah pemeriksaan sendiri rumah dan kawasan persekitaran masing-masing bagi memastikan tiada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Pemeriksaan ini hendaklah dijalankan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Selain itu, masyarakat juga perlu mengambil bahagian dalam program gotong royong dan pembersihan kawasan persekitaran yang dianjurkan di komuniti masing-masing. Masyarakat juga perlu memberikan sepenuh kerjasama semasa aktiviti kawalan dan pencegahan yang dijalankan oleh pihak berkuasa seperti pemeriksaan tempat pembiakan dan semburan kabus.

 

Soalan:

6. Apakah aktiviti berkaitan kawalan penyakit dan vektor yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan?

 

Jawapan:

Aktiviti yang dijalankan oleh PBT adalah bergantung kepada keupayaan dan keperluan di kawasan PBT tersebut. Antara aktiviti utama yang dijalankan adalah seperti berikut :

  • Pemeriksaan, penguatkuasaan dan penghapusan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes.
  • Menjalankan aktiviti kawalan bagi penyakit-penyakit bawaan vektor seperti semburan kabus, semburan racun serangga, pemusnahan tempat pembiakan, gotong royong dan sebagainya
  • Menjalankan aktiviti kawalan bagi serangga atau haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan lalat.
  • Menjalankan siasatan dan tindakan ke atas aduan kacauganggu yang diterima seperti pembiakan nyamuk, hurungan lalat, infestasi tikus, sampah terbiar, rumah terbiar dan lain-lain.
  • Menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit-penyakit berjangkit.
  • Menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan untuk orang awam seperti ceramah dan pameran.

 

 

SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
KAWALAN PUSAT PENYEMBELIHAN DAN PASAR
(PASAR AWAM)

 

Soalan:

1. Pihak manakah yang bertanggungjawab mengawal selia pasar awam?

 

Jawapan:

Pasar awam dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing.

 

Soalan:

2. Siapakah pihak yang bertanggungjawab terhadap sampah yang dibuang oleh penjual-penjual di pasar awam?

 

Jawapan:

Pihak yang bertanggungjawab terhadap sampah yang dibuang di pasar ialah Pihak Berkuasa Tempatan.

 

Soalan:

3. Apakah mekanisma kawalan yang dapat dilakukan untuk mengurangkan bau busuk di pasar awam?

 

Jawapan:

Kawalan yang dapat dilakukan ialah dengan memastikan sistem pengurusan sisa pepejal, sistem perparitan dan penyelenggaran keseluruhan yang berkesan.

 

Soalan:

4. Pihak manakah yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan di kawasan pasar awam?

 

Jawapan:

Pihak yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembersihan di pasar awam ialah Pihak Berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana kontraktor swasta yang dilantik oleh PBT berkenaan atau Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

  

Soalan:

5. Pihak manakah yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen perniagaan kepada penjual-penjual di pasar awam?

 

Jawapan:

Lesen perniagaan hanya boleh dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

 

SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
KAWALAN PUSAT PENYEMBELIHAN DAN PASAR
(ANJING TERBIAR)

 

Soalan:

1. Bolehkah saya memelihara anjing di rumah?

Jawapan:

Anda boleh memelihara anjing di rumah setelah mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Soalan:

2. Adakah anjing peliharaan saya perlu mendapatkan suntikan pelalian?

Jawapan:

Ya, suntikan pelalian boleh diperolehi di Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau klinik-klinik haiwan swasta.

 

Soalan:

3. Agensi manakah yang bertanggungjawab dalam menangani masalah anjing terbiar?

 

Jawapan:

Masalah anjing terbiar adalah terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sebarang aduan hendaklah diajukan kepada PBT yang berkenaan.

 

Soalan:

4. Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak yang berkenaan terhadap aduan gangguan anjing terbiar?

 

Jawapan:

Sekiranya terdapat aduan siasatan akan dijalankan oleh PBT. Jika aduan itu adalah benar, anjing-anjing terbiar tersebut akan ditangkap untuk tindakan selanjutnya.

 

Soalan:

5. Jika anjing peliharaan saya hilang, pihak manakah saya boleh rujuk?

 

Jawapan:

Aduan boleh dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berhampiran.

 

Soalan:

6. Apakah tindakan yang boleh saya lakukan sekiranya anjing jiran saya sentiasa melakukan kacau ganggu bunyi bising?

 

Jawapan:

Tindakan yang boleh dilakukan ialah anda perlulah membuat laporan kepada Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan tempat tinggal anda dan siasatan akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan tersebut bagi mengambil tindakan susulan.

 

Soalan:

7. Apakah tindakan yang boleh saya lakukan sekiranya saya diserang oleh anjing terbiar?

 

Jawapan:

Tindakan yang boleh dilakukan ialah anda perlulah membuat laporan kepada pihak Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan tempat tinggal anda dan siasatan akan dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan bagi mengambil tindakan susulan.

 

SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
KAWALAN STESYEN PENCEGAH JANGKIT
(TANDAS AWAM)

 

Soalan:

1. Apakah amalan-amalan pengguna tandas yang bijak?

 

Jawapan:

  • Guna tandas dengan cermat untuk pengguna seterusnya.
  • Pam selepas guna.
  • Bersihkan tangan setelah menggunakan tandas.
  • Keringkan tangan.
  • Buang sampah ke dalam tong sampah.

 

Soalan:

2. Bilakah Sambutan Hari Tandas Sedunia dan apakah objektifnya?

 

Jawapan:

Hari Tandas Sedunia disambut pada 19 November setiap tahun di seluruh dunia.

Objektif Sambutan Hari Tandas Sedunia adalah untuk menyemai semangat menghargai kepentingan  tandas sekaligus meningkatkan kesedaran terhadap betapa pentingnya keperluan tandas yang bersih di dalam kehidupan masyarakat dan juga untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang budaya tandas bersih.

 

Soalan:

3. Jika saya ingin membuat aduan tentang kebersihan tandas awam kepada  siapa harus saya mengadu?

 

Jawapan:

Anda boleh mengadu terus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  yang berkenaan.

 

Soalan:

4. Adakah program pengauditan tandas awam di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dijalankan setiap tahun dan  apakah objektifnya?

  

Jawapan:

Program pengauditan tandas awam dijalankan setiap tahun dan ianya  WAJIB dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Laporan Hasil Pengauditan hendaklah diserahkan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). Kebiasaannya program ini dijalankan pada bulan Mac hingga April.

Objektif pengauditan tandas awam ini dijalankan adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas awam di Negara ini disamping menjaga imej Negara di mata pelancong-pelancong asing yang datang ke Malaysia.

 

Soalan:

5. Adakah telah wujud garispanduan yang berkaitan dengan penarafan kebersihan  tandas?

 

Jawapan:

Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah menyediakan Garispanduan 'Star Rating' Kebersihan Tandas Awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah menetapkan panduan untuk mencapai taraf kebersihan 5 (lima) bintang.

 

Soalan:

6. Adakah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan Pertandingan Tandas Bersih Kegunaan Awam dan bilakah pertandingan tersebut dijalankan?

 

Jawapan:

Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) ada menganjurkan Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia setiap tahun.  Kebiasaannya pertandingan bermula dari bulan Februari hingga Mei setiap tahun.


Bagi soalan yang tiada di laman ini, mohon salurkan pertanyaan anda di sini atau hubungi Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran di bawah:
                                                       
                                                                      Nama: Dr. Hasnah binti Bibon
                                                                      No. Telefon: 03-8891 3300
                                                                      e-mel: hasnahz@kpkt.gov.my


  •  
  • Email this page
  • 21478
Tarikh Kemaskini 29-03-2017 Jumlah Pelawat : 525005
::Hakcipta©2014 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT KPKT)::
Aras 25-29, 
No.51, Persiaran Perdana Presint 4,
62100 Putrajaya Malaysia
Tel: 03-8000 8000     Faks: 03-8891 3090
E-mel: jkt[at]kpkt[dot]gov[dot]my (webmaster sahaja)
Untuk e-melkan aduan sila klik di sini.

Paparan terbaik: IE9 / Firefox / Google Chrome resolusi melebihi 1024x768px
Penafian: Jabatan Kerajaan Tempatan tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini.