[ HUBUNGI KAMI ]

Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)

PERAKUAN SIAP DAN PEMATUHAN (CCC)

 

Buku Panduan Sistem Pengeluaran Perakuan Siap Dan Pematuhan Oleh Para Profesional (CCC)
Pekeliling

 

SOALAN-SOALAN LAZIM BERKAITAN DENGAN PELAKSANAAN
SISTEM PERAKUAN SIAP DAN PEMATUHAN (Certificate of Completion and Compliance - CCC)

 

Soalan 1

Apakah kesan atau implikasi yang akan berlaku sekiranya PSP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan setelah CCC dikeluarkan?
 

Di dalam sistem CFO, perakuan dikeluarkan oleh PBT berbanding di bawah sistem baru di mana CCC dikeluarkan oleh PSP. Walau bagaimanapun, tanggungjawab bagi keselamatan bangunan  semasa pembinaan mahupun selepas penyiapan sesebuah bangunan sama ada di dalam sistem CFO atau CCC masih terletak di bawah orang yang mengemukakan pelan bangunan seperti yang diperuntukan di bawah seksyen 71 Akta 133. 

 

Selain tanggungjawab sedia ada, bagi memastikan tanggungjawab yang berterusan oleh pihak-pihak yang terbabit, konsep baru ini juga memperkenalkan satu proses penambaikan ke atas kawalan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pembinaan iaitu proses 'Matrix of Responsibility' (proses perakuan berperingkat). Di bawah konsep ini, setiap komponen pembinaan turut dipertanggungjawabkan ke atas pihak-pihak profesional, kontraktor dan kontraktor tred. Ini bermakna walaupun PSP bertanggungjawab kepada keseluruhan pembinaan, pihak lain juga bertanggungjawab dalam bidang masing-masing. Sebagai contoh, tanggungjawab untuk kerja struktur adalah dipikul bersama oleh pihak Jurutera dan Kontraktor yang melaksanakan kerja. PSP hanya akan mengeluarkan CCC setelah semua pengesahan pada setiap komponen pembinaan lengkap dan disempurnakan. Dalam hal ini, sekiranya Arkitek Profesional yang bertindak sebagai PSP telah meninggal dunia atau tidak boleh dikesan setelah CCC dikeluarkan, tanggungjawab Jurutera Profesional tetap kekal bagi struktur bangunan yang didirikan.

 
Kaedah 'check and balance' ini mampu meminimakan risiko atau implikasi sekiranya PSP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan setelah CCC dikeluarkan.
 
 



Soalan 2

Adakah sistem baru ini akan menyebabkan kelewatan memandangkan terdapat berbagai proses perakuan berperingkat yang perlu dilengkapkan sebelum CCC dikeluarkan?
 

Proses mendapatkan pengesahan bagi setiap komponen pembinaan adalah dijalankan secara berperingkat selaras dengan penyiapan komponen pembinaan di tapak. Justeru itu, pengeluaran CCC adalah di bawah kawalan PSP. Sehubungan itu, tempoh pengeluaran CCC adalah lebih terjamin di bawah sistem ini memandangkan penglibatan PBT adalah pada tahap yang lebih minima dalam proses pengeluaran CCC berbanding CFO. Walau bagaimanapun, kawalan 'check and balance' PBT masih dikekalkan dan kuasa PBT bagi memastikan keselamatan bangunan yang dibina tidak terjejas di bawah sistem baru ini.

 

Di bawah sistem baru ini, PSP boleh mengeluarkan CCC serta merta setelah berpuas hati pembinaan telah mematuhi undang-undang serta syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sementara itu, dalam sistem CFO, setelah berpuas hati dengan pembinaan, PSP perlu pula mengemukakan permohonan kepada PBT untuk semakan dan pemeriksaan di tapak sebelum CFO boleh dikeluarkan.

 
 



Soalan 3

Di bawah sistem CCC kemungkinan akan terjadi conflict of interest kerana PSP yang menyelia kerja pembinaan merupakan juga pihak yang mengeluarkan CCC. Begitu juga dikatakan akan ada elemen pakatan di antara pihak pemaju dan PSP di dalam sesuatu pemajuan kerana PSP adalah ejen yang dilantik oleh pemaju?
 

Sistem CCC membenarkan hanya pihak yang arif dan mempunyai kepakaran tentang sesuatu projek diberi kepercayaan untuk memperakukan keselamatan dan keselesaan bangunan yang dikeluarkan CCC. Dalam hal ini, PSP memang lebih memahami dan dapat mendalami sesuatu projek kerana kepakarannya serta penglibatannya di peringkat perancangan, pembinaan dan sehingga penyiapan projek.

 

Untuk menangani isu pakatan di antara pemaju dan PSP atau pihak lain yang terlibat dalam sesuatu pembinaan, satu peruntukan baru telah diadakan berhubung dengan kesalahan membuat atau menghasilkan atau menyebabkan dibuat apa-apa perisytiharan, perakuan, permohonan atau representasi palsu atau fraud apa-apa borang yang ditetapkan. Hukuman bagi kesalahan ini ialah denda tidak melebihi RM250,000.00 atau pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

 
 



Soalan 4

Adakah PBT masih mempunyai duty of care bagi memastikan bangunan yang dibina selamat dan sesuai diduduki?
 
PBT masih mempunyai 'duty of care' di bawah 'common law' bagi memastikan bangunan yang dibina selamat dan selesa diduduki.
 

Di bawah sistem baru ini, PBT masih mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam proses pengeluaran CCC seperti mana diperuntukkan di bawah subseksyen baru 70 (23) dan (24) Akta 133. Di bawah subseksyen baru 70 (23) Akta 133, PBT diberi kuasa bagi mengeluarkan notis bertulis kepada PSP dan SP supaya memperbetulkan ketidakpatuhan yang berlaku selain diberi kuasa mengeluarkan arahan bertulis kepada PSP untuk menahan pengeluaran CCC sehingga ketidapatuhan diperbetulkan. Manakala di bawah subseksyen baru 70 (24) Akta 133, PBT boleh menyebabkan apa-apa kerja dilaksanakan atau apa-apa langkah diambil bagi tujuan memperbetulkan ketidakpatuhan berlaku.

 

Selain itu, PBT mempunyai kuasa di bawah seksyen 85A Akta 133 bagi mengarahkan pemeriksaan bangunan secara berkala dijalankan oleh pemunya sesuatu bangunan selepas 10 tahun dari tarikh pengeluaran CCC bagi bangunan tersebut.

 
 



Soalan 5

Bolehkah tindakan sivil diambil terhadap PBT?
 

Pihak yang terkilan adalah tidak terhalang daripada mengambil apa-apa tindakan sivil terhadap PBT. Walaupun undang-undang memperuntukkan imuniti kepada PBT melalui seksyen 95(2) Akta 133, penghakiman mahkamah pernah meluluskan bahawa di bawah 'common law' PBT mempunyai kewajipan berjaga-jaga (duty of care) terhadap pihak ketiga. Sehubungan itu, pihak yang terkilan masih boleh mengambil tindakan sivil terhadap PBT.

 
 



Soalan 6

Apakah sistem kawalan ke atas pihak profesional bagi menjamin tiada peyelewengan atau penyalahgunaan kuasa?
 

Bagi menjamin tiada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak profesional, sistem baru ini memperkenalkan konsep tanggungjawab secara matriks di mana kawalan nyata diperuntukkan melalui penggunaan 21 borang perakuan berperingkat (stage certification).
 

Selain itu, bagi mengukuhkan kawalan ini, pihak profesional tertakluk kepada Akta profesional masing-masing.
 
 



Soalan 7

Adakah Professional Indemnity Insurance (PII) boleh melindungi Jurutera dan Arkitek kerana kini mereka juga dikehendaki membuat perakuan yang mungkin di luar norm of reasonable care, skill and diligence yang dikehendaki dari mereka? Adakah pihak pembeli juga mungkin dibebankan dengan kos premium bagi polisi insurans yang dimasukkan dalam kos harga bangunan ataupun PII itu sendiri tidak akan dilanjutkan untuk melindungi Jurutera dan Arkitek dan mengakibatkan pembeli sukar mendapat gantirugi?

 
Pada masa ini PII tidak diwajibkan untuk Arkitek atau Jurutera. Walau bagaimanapun, hanya sebilangan para profesional didapati mengambilnya untuk perlindungan sendiri.
 
Kedua-dua Lembaga Profesional sedang mengkaji kesesuaian untuk mewajibkan PII ke atas para profesional tanpa membebankan pihak pembeli.
 
 



Soalan 8

Apakah kelebihan sistem CCC kepada pembeli rumah?
 

Perakuan CCC boleh dikeluarkan bersekali dengan Pemilikan Kosong (VP). Perkara ini dapat mengatasi masalah dan implikasi yang sering dikaitkan dengan CFO di mana pembeli rumah memperolehi kunci rumah tetapi tidak boleh mendudukinya kerana CFO belum dikeluarkan lagi.

 

Dengan pengenalan proses tanggungjawab secara matriks, ada peningkatan dalam aspek akauntabiliti dan ketelusan di mana tindakan boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kegagalan atau kecacatan pada bangunan. Dengan demikian, kualiti kerja akan lebih terjamin.

 
 



Soalan 9

Apakah kesan atau implikasi sekiranya PSP meninggal dunia atau bankrap, atau tidak boleh dikesan atau pendaftaranya telah dipotong atau sebab-sebab lain,sebelum CCC dikeluarkan?
 
Peruntukan perundangan sedia ada membenarkan pertukaran PSP sekiranya berlaku salah satu sebab yang dinyatakan dengan syarat persetujuan PBT terbabit diperolehi terlebih dahulu.
 

Dalam aspek ini pemunya atau pemaju atau penduduk hendaklah melantik PSP lain untuk bertindak baginya. PSP baru ini hendaklah mengambilalih kewajipan dan tanggungjawab atau bertindak untuk PSP pertama yang disebutkan.


__________________________________________________________________________________________________________

Bagi soalan yang tiada di laman ini, mohon salurkan pertanyaan anda di sini atau hubungi Ketua Perunding Kawalan Kemajuan di bawah:
                                                       
                                                                      Nama: Puan Ar. Sharina Intan binti Abdullah
                                                                      No. Telefon: 03-8891 3436
                                                                      e-mel: sharina_intan@kpkt.gov.my


  •  
  • Print
  • Email this page

::Hakcipta©2017 Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT KPKT)::
Aras 25-29, 
No.51, Persiaran Perdana Presint 4,
62100 Putrajaya Malaysia
Tel: 03-8000 8000     Faks: 03-8891 3090
E-mel: jkt[at]kpkt[dot]gov[dot]my (webmaster sahaja)
Untuk e-melkan aduan sila klik di sini.

Paparan terbaik: IE9 / Firefox / Google Chrome resolusi melebihi 1024x768px
Penafian: Jabatan Kerajaan Tempatan tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini.
Total count : 500696 Tarikh Kemaskini : 27-07-2017