Submitted by admin2 on Wed, 08/08/2018 - 13:15
MAJLIS NEGARA KERAJAAN TEMPATAN (MNKT)
MESYUARAT MAJLIS NEGARA BAGI KERAJAAN TEMPATAN KE-61 (MNKT KE-61)
 
2 DISEMBER 2008, 3.00 PETANG
DEWAN PERSIDANGAN ICU
ARAS 1, BLOK TIMUR
BANGUNAN PERDANA PUTRA
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62502 PUTRAJAYA
 
  1. MNKT merupakan badan tertinggi yang menggubal dasar serta undang-undang bagi mengawal dan memajukan PBT selaras dengan peruntukan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.  MNKT dipengerusikan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh semua YAB Ketua Menteri dan Menteri Besar bagi negeri-negeri Semenanjung Malaysia serta 10 orang YB Menteri Kabinet Persekutuan yang berkaitan seperti di bawah. Wakil dari Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak turut dijemput hadir sebagai pemerhati.
    a. YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
    b. YB Menteri Kerja Raya
    c. YB Menteri Kewangan II
    d. YB Menteri Kesihatan
    e. YB Menteri Sumber Manusia
    f. YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan
    g. YB Menteri Wilayah Persekutuan
    h. YB Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
    i. YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
    j. YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovas
 
             2. Mesyuarat MNKT Ke-61 telah diadakan pada 2 Disember 2008 di Putrajaya bagi membincangkan 4 kertas kerja dan 2 kertas makluman.
 
             3. Keputusan mesyuarat bagi keempat-empat kertas kerja berkenaan adalah seperti berikut:
 
Kertas Kerja 1 : Cadangan Pemakaian Garis Panduan Papan Iklan Luar Yang Seragam
  • Bersetuju dengan cadangan garis panduan papan iklan luar yang seragam.  Pelaksanaan garis panduan ini membolehkan isu-isu yang berkaitan dengan struktur dan kandungan papan iklan luar ditangani dengan berkesan agar pemasangan papan iklan luar tidak membahayakan orang awam dan pengguna jalan raya, tidak menjejaskan kualiti persekitaran dan mempunyai kandungan yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai tempatan.
     
  • Bagi negeri-negeri yang telah menandatangani perjanjian konsesi dengan syarikat pengiklanan, implikasi perundangan perlu dikaji sebelum pemakaian garis panduan ini dilaksanakan sepenuhnya.
     
  • Bagi permohonan baru yang tidak melibatkan implikasi undang-undang, ia perlulah mengikut garis panduan ini.
 
Kertas Kerja 2 : Cadangan Menjadikan Perjawatan Di Unit Pusat Setempat (OSC) Dan Unit e-PBT Jabatan Kerajaan Tempatan, Cawangan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Perjawatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
  • Bersetuju dengan cadangan:
    1. menjadikan perjawatan Kumpulan Sokongan di OSC, COB dan e-PBT sebagai perjawatan PBT; dan
    2. peruntukan kewangan disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembayaran gaji dan elaun dan dibayar terus kepada PBT.  
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan susulan bersama pihak JPA dan Kementerian Kewangan bagi melaksanakan keputusan ini.
 
Kertas Kerja 3 : Garis Panduan Penyidaian Kain Di Kediaman Berbilang Tingkat
  • Bersetuju dengan cadangan Garis Panduan Penyidaian Kain Di Kediaman Berbilang Tingkat. Pelaksanaan garis panduan ini akan dapat menangani isu penyidaian kain di kediaman berbilang tingkat yang tidak teratur sehingga boleh menjejaskan imej dan pemandangan di kawasan bandar. 
  • Sekiranya tidak berkesan, pindaan ke atas undang-undang sedia ada akan diambil bagi tindakan menguatkuasa garis panduan ini. 
 
Kertas Kerja 4 : Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
  • Bersetuju dengan cadangan pemansuhan syarat Kursus Ulangan Latihan Asas Kebersihan Pengendali dan Penjaja Makanan bagi setiap tiga tahun untuk tujuan memperbaharui lesen perniagaan. 
  • Kursus kepada pengusaha dan pengendali makanan hanya diadakan sekali sahaja kerana kandungan kursus adalah sama. Keputusan ini dapat mengurangkan beban peniaga dari segi kos dan masa. 
  • Walau bagaimanapun, bagi para pengendali makanan yang premis makanan mereka ditutup sementara kerana didapati kotor, perlu mengikuti kursus ulangan tersebut sebelum premis mereka dibenarkan beroperasi semula dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan menjaga kebersihan hendaklah di pertingkatkan.
 
  1. Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dinyatakan dalam 2 kertas makluman seperti berikut:

    Kertas Makluman 1 : Pengeluaran Lesen dan Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
     
    Kertas Makluman 2 : Status Pelaksanaan Pusat Setempat (OSC) Bagi Tempoh 13 April 2007 Sehingga 31 Oktober 2008
     
  2. KPKT akan mengeluarkan pekeliling kepada semua Kerajaan Negeri dan PBT bagi menjelaskan kaedah pelaksanaan keputusan MNKT Ke-61 ini.
 
 
Urus Setia
Jabatan Kerajaan Tempatan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
3 Disember 2008