SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
PELAKSANAAN SISTEM PERAKUAN SIAP DAN PEMATUHAN (Certificate of Completion and Compliance, CCC)

1. Siapakah yang layak mengeluarkan Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC)?

Jawapan:

Hanya Orang Utama Yang Mengemukakan (Principal Submitting Person, PSP) yang layak untuk mengeluarkan CCC, bukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). PSP terdiri daripada Arkitek, jurutera profesional dan pelukis pelan berdaftar..

 

2. Apakah peranan PBT dalam proses pengeluaran CCC?

Jawapan:

Peranan PBT adalah sebagai pihak yang menjalankan check and balance memandangkan CCC dikeluarkan oleh PSP secara self certification dan self regulation. PBT boleh menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 70(23)(a) dan (b), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) untuk menjalankan pemeriksaan semasa pembinaan bagi memastikan bangunan yang dibina adalah mematuhi pelan bangunan yang diluluskan. Sekiranya terdapat ketidakpatuhan, PBT boleh menahan pengeluaran CCC.

 

3. Bagaimanakah PBT menjalankan tanggungjawab duty of care terhadap orang awam bagi bangunan lama yang sedia ada?

Jawapan:

Seksyen 85A, Akta 133 memberi kuasa kepada PBT untuk mengeluarkan notis kepada pemunya bangunan supaya mereka melaksanakan pemeriksaan struktur bangunan secara berkala selepas tempoh 10 tahun CCC dikeluarkan.

 

4. Adakah PSP ditentukan berdasarkan jenis pembangunan?

Jawapan :

Surat Lembaga Jurutera Malaysia bertajuk ‘Nota-nota mengenai Pengemukaan Pelan-pelan oleh Arkitek-arkitek, Jurutera-jurutera Profesional dan Pelukis-pelukis Pelan Bangunan yang Berdaftar - Appendix A, B dan C’ telah mengenalpasti pihak yang sesuai untuk membuat pengemukaan pelan bangunan kepada pihak PBT berdasarkan jenis pembangunan. (Contohnya, PSP yang sesuai untuk projek kediaman atau perumahan adalah Arkitek, bukan jurutera profesional.)

  

5. Apakah tatacara pengeluaran CCC?

Jawapan:

Merujuk kepada Seksyen 70(20), Akta 133, PSP akan mengeluarkan CCC apabila beliau telah:

  1. mengawasi pendirian bangunan dan memastikan pendirian tersebut menepati pelan yang diluluskan.
  2. memastikan bangunan dibina dan disiapkan dengan mematuhi kesemua syarat teknikal* yang dikenakan oleh PBT.
    (*Undang-Undang Kecil 2, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 mentafsirkan syarat teknikal sebagai syarat yang berkenaan dengan isu kesihatan dan keselamatan yang berhubung dengan bangunan dan perkhidmatan perlu yang diadakan bagi bangunan itu).
  3. memastikan bahawa bangunan itu selamat dan layak untuk diduduki.

 

6. Apakah dokumen yang diperlukan bagi menyokong pengeluaran CCC?

Jawapan:

Pengeluaran CCC perlu disokong oleh 21 bilangan Borang G. Hanya 8 bilangan Borang G yang memerlukan surat pengesahan / sijil kelayakan daripada Agensi Teknikal, iaitu:

  1. Borang G8 (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM).
  2. Borang G9 (JBPM).
  3. Borang G11 (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, JKKP).
  4. Borang G13 (Pihak Berkuasa Air).
  5. Borang G14 (Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, JPP).
  6. Borang G15 (JPP).
  7. Borang G16 (Tenaga Nasional Berhad).
  8. *Borang G17 (PBT / Jabatan Kerja Raya, JKR).
    (*sekiranya surat pengesahan tidak diterima dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan, ia disifatkan telah diberikan).

 

7. Apakah cara terbaik pengeluaran CCC bagi pembangunan berfasa?

Jawapan:

Bagi pembangunan berfasa yang diluluskan di dalam satu permohonan Kebenaran Merancang, cara terbaik yang perlu dilakukan oleh PSP adalah untuk menasihati pemaju / pemilik untuk membuat permohonan pelan bangunan secara berasingan mengikut fasa supaya pengeluaran CCC tidak akan bercanggah.

 

8. Apakah perbezaan di antara Borang F dan Borang F1 serta apakah kaitannya dengan Pemilikan Kosong (Vacant Possession, VP)?

Jawapan:

Borang F adalah CCC dan Borang F1 adalah Partial CCC. Pembangunan berfasa akan menggunakan Borang F1 untuk setiap fasa sehingga fasa akhir siap. Justeru itu, Borang F akan dikeluarkan untuk keseluruhan pembangunan berfasa tersebut. Merujuk Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), VP hanya boleh dikeluarkan bersama Borang F, iaitu CCC sahaja.

 

9. Bolehkah CCC ditarik balik?

Jawapan:

Menurut perundangan semasa, sekiranya CCC telah dikeluarkan, ianya tidak boleh ditarik balik. PBT perlu menerima CCC tersebut kerana CCC tersebut adalah sah di sisi undang-undang. Walau bagaimanapun, sekiranya PBT mendapati terdapat perakuan palsu atau ketidakpatuhan dalam pengeluaran CCC tersebut, PBT boleh mengambil tindakan ke atas PSP berdasarkan Akta 133. Selain daripada itu, PBT juga boleh memajukan kes tersebut kepada Lembaga Arkitek Malaysia dan / atau Lembaga Jurutera Malaysia untuk tindakan di bawah Akta Arkitek 1967 (Akta 117) dan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138). PBT juga boleh merujuk kepada JPN supaya tindakan boleh diambil ke atas Pemaju di bawah Akta 118.

 

10. Siapakah yang boleh menentukan kesahihan (validity) bagi CCC sekiranya terdapat pertikaian?

Jawapan:

Menurut perundangan semasa, sekiranya CCC telah dikeluarkan walaupun melalui tatacara yang tidak betul, ianya masih sahih / sah. Walau bagaimanapun, perundangan sedia ada juga memberi kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan ke atas pengeluaran CCC sebegitu. Selain daripada itu, pengadu juga boleh membawa kes pertikaian kesahihan (validity) CCC ke mahkamah bagi keputusan terakhir.

 

11. Mengapakah CCC masih dikeluarkan walaupun terdapat banyak kecacatan (defects)?

Jawapan:

Kebanyakan kecacatan yang didapati selepas sesuatu bangunan telah siap dibina, boleh dibaiki oleh pihak Pemaju dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (Defects Liability Period, DLP) seperti yang termaktub dalam Perjanjian Jual Beli. Kecacatan jenis ini adalah tidak kritikal dan tidak merbahaya. Walau bagaimanapun, terdapat jenis kecacatan yang amat kritikal dan boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan sesuatu bangunan. Jenis-jenis kecacatan ini telah dikenalpasti dalam ‘Senarai Kecacatan Berkaitan Pengeluaran CCC’ yang telah disediakan oleh pihak JKT. Sekiranya jenis kecacatan ini berlaku, CCC tidak boleh dikeluarkan.

 

12. Bolehkah PBT masih mengeluarkan Perakuan Kelayakan Menduduki (Certificate of Fitness for Occupation, CFO) walaupun sistem CCC telah dilaksanakan sejak tahun 2007?

Jawapan:

Pindaan kepada Akta 133 iaitu Akta A1286, Appendix Nota: Kecualian dan peralihan membenarkan pengecualian bagi pembangunan yang sedang menggunakan sistem CFO apabila sistem CCC diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Bagi kes-kes sebegitu, PBT boleh mengeluarkan CFO apabila Arkitek mengemukakan Borang E. Pelan bangunan tidak perlu disertakan bersama-sama pengemukaan Borang E. Ianya memadai dengan hanya menyatakan nombor kelulusan pelan bangunan sahaja. Dalam tempoh 14 hari dari tarikh Borang E dikemukakan, CFO hendaklah dikeluarkan oleh PBT, dan sekiranya gagal, permohonan hendaklah dianggap telah diluluskan dan CFO telah dikeluarkan.

 


SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
SOP PERMOHONAN PERMIT SEMENTARA BANGUNAN BAGI RUMAH PEKERJA DALAM TAPAK BINA

1. Apakah SOP ini turut terpakai bagi pelaksanaan TLQ dan CLQ yang berada diluar tapak bina?

Jawapan:

Tidak. SOP ini hanya terpakai bagi cadangan pembinaan rumah pekerja di dalam tapak bina SAHAJA. SOP bagi pembinaan rumah (TLQ dan CLQ) di luar tapak bina hendaklah merujuk kepada SOP yang disediakan oleh PLANMalaysia.

 

2. Adakah SOP ini terpakai bagi tapak pemajuan yang tidak mempunyai kelulusan KM pembinaan?

Jawapan:

Tidak. SOP ini hanya terpakai ke atas tapak pemajuan yang telah mendapat kelulusan KM pembinaan SAHAJA. Manakala bagi tapak pemajuan yang telah mempunyai kelulusan KM Susunatur, hendaklah mengemukakan dan mendapatkan kelulusan KM Pembinaan bagi memastikan SOP boleh digunapakai.

 

3. Adakah JBPM perlu membuat pengesahan ke atas borang senarai semak kehendak-kehendak kebombaan sebelum pemohon mengemukakan permohonan permit sementara kepada PBT?

Jawapan:

Tidak, borang senarai semak kehendak-kehendak kebombaan hendaklah disahkan hanya oleh PSP sebelum mengemukakan permohonan permit sementara selaras dengan konsep self-regulation.

 

4. Adakah kelulusan muktamad yang dibuat di peringkat Jabatan dalam tempoh 10 hari perlu dibentang semula di dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC?

Jawapan:

Ya, pembentangan di Mesyuarat Jawatankuasa OSC adalah bagi tujuan pemakluman sahaja.

 

5. Adakah kebenaran khas bagi memulakan kerja boleh diberikan untuk tujuan pembinaan rumah pekerja di dalam kawasan tapak bina dimulakan sebeium kelulusan permit sementara diperolehi?

Jawapan:

Ya, kebenaran khas memulakan kerja boleh diberikan bagi tujuan pembinaan rumah pekerja di dalam tapak bina tertakluk tapak tersebut telah mendapat kelulusan KM pembinaan dan pemohon telah mengemukakan PeIan Bangunan serta permit sementara secara serentak kepada PBT selaras dengan peruntukan perkara 13, UKBS 1984.

 

6. Berapakah tempoh bagi sesuatu permit yang diberikan oleh PBT ke atas rumah pekerja di atas tapak bina?

Jawapan:

Tempoh sah sesuatu permit yang diberikan oleh PBT adalah selama setahun dan ia boleh diperbaharui tertakluk kepada permohonan pembaharuan kepada PBT sebelum 1 Januari setiap tahun selaras dengan peruntukan dalam Jadual Pertama, UKBS 1984.

 

7. Adakah rumah pekerja yang telah diluluskan oleh PBT dan telah siap dibina boleh didiami sebelum mendapat perakuan penginapan dari JTKM?

Jawapan:

Tidak. Majikan hendaklah mendapatkan perakuan penginapan dari JTKM sebelum rumah pekerja boleh didiami selaras dengan Seksyen 24D, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019, Akta 446.

 

8. Bagaimanakah prosedur permohonan ke atas rumah pekerja sedia ada di dalam tapak bina yang telah beroperasi tetapi tiada kelulusan PBT dan JTK?

Jawapan:

Majikan hendaklah mengemukakan permohonan sebagaimana ketetapan SOP ini. Walaubagaimanapun, majikan tertakluk kepada suatu bayaran fi 10 kali ganda selaras dengan Para 17, Jadual Pertama, UKBS 1984.

 

9. Adakah rumah pekerja di atas tapak bina boleh didiami oleh pekerja dari sektor selain pembinaan seperti pembuatan, pertanian dan lain-lain?

Jawapan:

Tidak boleh. Rumah pekerja di atas tapak bina adalah bersifat sementara iaitu sehingga pembinaan siap sepenuhnya selaras dengan keperluan bagi sektor pembinaan. Manakala sektor pembuatan dan pertanian memerlukan kategori penginapan bersifat kekal.

 


SOALAN DAN JAWAPAN
PROSEDUR PERMOHONAN BAGI PENYEDIAAN PENGINAPAN PEKERJA SECARA JANGKA PENDEK

1. Apakah tujuan penyediaan Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek?

Jawapan:

Untuk membantu Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), agensi kerajaan, pihak pemaju, majikan, pengilang, pengendali dan pengusaha penginapan di dalam menyediakan penginapan pekerja yang meliputi pekerja asing dan tempatan terutama dalam waktu pandemik COVID-19 ini

 

2. Bilakah Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek ini diluluskan?

Jawapan:

Prosedur permohonan ini telah diluluskan di Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-77 (MNKT Ke-77)yang bersidang pada 2 Mac 2021 untuk diterima pakai di peringkat Pihak Berkuasa Negeri dan seterusnya Pihak Berkuasa Tempatan.

 

3. Berapa lamakah Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek ini diterima pakai?

Jawapan:

Prosedur ini terpakai dalam tempoh tiga (3) tahun iaitu bermula tahun 2021 hingga 2023. Bagi tahun berikutnya, penyediaan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) dilihat sebagai kaedah terbaik untuk memastikan kawalan dan penyediaan penginapan yang lebih berkualiti dan sistematik.

 

4. Apakah dua (2) bentuk penginapan pekerja yang telah dikenal pasti?

Jawapan:

Dua (2) bentuk penginapan pekerja adalah:

  1. Penginapan pekerja dalam panduan ini bermaksud satu unit kediaman/perniagaan/perindustrian (sama ada diubah suai atau tidak diubah suai) yang digunakan untuk menempatkan beberapa orang pekerja meliputi pekerja asing atau pekerja tempatan dari sektor pekerjaan yang sama atau pelbagai sektor pekerjaan.
  2. Asrama pekerja dalam panduan ini bermaksud suatu deretan/atau kelompok bangunan yang lebih dari satu unit bangunan (sama ada diubah suai atau tidak diubah suai) yang digunakan untuk menempatkan sekumpulan pekerja meliputi pekerja asing atau pekerja tempatan dari sektor pekerjaan yang sama atau pelbagai sektor pekerjaan.

  

5. Apakah peruntukan perundangan semasa yang berkaitan?

Jawapan:

  1. Seksyen 24H, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Pindaan), 2019 (Akta 446) dengan jelas telah memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk mengesahkan sesuatu bangunan itu sesuai untuk didiami bagi tujuan penginapan pekerja berdasarkan undang-undang sedia ada di PBT.
  2. Seksyen 19(1), Akta Perancangan Bandar Dan Desa, 1976 (Akta 172) juga telah memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk mengeluarkan Kebenaran Merancang bagi setiap cadangan pembangunan yang hendak dimajukan. lni termasuk juga berkaitan dengan syarat yang boleh dikenakan bagi tujuan perubahan material (material change) sebuah bangunan dalam tempoh tertentu.
  3. Seksyen 79, Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171) juga turut memperuntukkan kawalan penghunian sesebuah rumah yang disifatkan "penuh sesak" yang boleh mendatangkan bahaya dan mudarat kepada kesihatan dan penduduknya jika rumah itu atau mana-mana bilik di dalamnya didapati diduduki lebih daripada kadar seorang dewasa bagi tiap-tiap 350 kaki padu luang dalam bersih.
  4. Seksyen 116, Sekysen 117 dan Seksyen 120, Kanun Tanah Negara, 1965 telah memperuntukkan pematuhan kepada syarat nyata hakmilik tanah dan keperluan untuk meletakkan syarat-syarat tersirat dan sekatan kepentingan oleh PBN serta permohonan Permit Khas bagi memohon kebenaran membenarkan penggunaan yang lain dari syarat nyata yang ditetapkan atas tanah berhak milik.

 

6. Apakah enam (6) alternatif cadangan penyediaan penginapan pekerja jangka pendek?

Jawapan:

Enam (6) alternatif bagi penyediaan penginapan pekerja jangka pendek yang telah dikenal pasti adalah:

  1. Alternatif 1 (A1): Penginapan pekerja di kawasan perumahan sedia ada;
  2. Alternatif 2 (A2): Asrama pekerja di kawasan perumahan sedia ada;
  3. Alternatif 3 (A3): Penginapan pekerja di unit rumah kedai sedia ada;
  4. Alternatif 4 (A4): Penginapan pekerja atau asrama pekerja dikedai pejabat atau plot perniagaan sedia ada;
  5. Alternatif 5 (A5): Penginapan pekerja atau asrama pekerja dipremis perindustrian sedia ada; dan
  6. Alternatif 6 (A6): Asrama pekerja di dalam tapak bina.

 

7. Berapakah anggaran tempoh masa kelulusan bagi kaedah penyewaan biasa (Alternatif 1 dan Alternatif 3) dan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (Alternatif 2, Alternatif 4 dan Alternatif 5)?

Jawapan:

Anggaran tempoh masa kelulusan bagi kaedah penyewaan biasa (Alternatif 1 dan Alternatif 3) adalah 10 hari. Manakala, anggaran kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (Alternatif 2, Alternatif 4 dan Alternatif 5) adalah 30 hari. Bagi permit sementara bangunan di tapak bina dalam Alternatif 6, kelulusan adalah selama 10 hari.

 

8. Adakah perlu permohonan Kebenaran Merancang (KM) Tempoh Terhad bagi cadangan penyediaan penginapan pekerja di unit kediaman sedia ada?

Jawapan:

Tidak Perlu permohonan KM Tempoh Terhad. Majikan boleh menggunakan kaedah penyewaan biasa bagi tujuan penginapan pekerja di dalam kawasan perumahan secara unit individu (bertanah/bertingkat/strata). Perjanjian sewaan perlu dibuat di antara majikan dan pemilik rumah.


Salinan Perjanjian Sewaan bersama Senarai Penyewa (pekerja) perlu dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai pemakluman dan rekod bagi tujuan kawalan dan pemantauan. Pihak PBT akan mengeluarkan Surat Persetujuan untuk dikemukakan kepada JTKSM untuk proses pengeluaran Perakuan Penginapan di bawah Akta 446.

 

9. Adakah masih perlu mematuhi Akta 446 dan peraturan yang diwartakan di bawahnya?

Jawapan:

Semua enam (6) cadangan alternatif bagi penyediaan penginapan pekerja jangka pendek perlu mematuhi Akta 446 dan Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

 

10. Adakah penyediaan tandas dan bilik mandi boleh diasingkan?

Jawapan:

Menurut Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020, tandas dan bilik mandi boleh disediakan secara bersekali atau diasingkan. Sekiranya diasingkan, pengiraan 1 unit tandas dan 1 unit bilik mandi dianggap sebagai satu (1) unit.

 

11. Bagi proses Kebenaran Merancang Tempoh Terhad, berapa banyak agensi yang dirujuk untuk ulasan?

Jawapan:

Hanya melibatkan tiga(3) agensi teknikal dalaman PBT sahaja iaitu:

  1. Jabatan Kejuruteraan;
  2. Jabatan Bangunan; dan
  3. Jabatan Kesihatan.

 

12. Adakah kategori 'Rumah Kampung' yang berada di luar kawasan PBT dibenarkan untuk penginapan pekerja?

Jawapan:

Bagi unit 'Rumah Kampung' sedia ada yang berada di luar kawasan pentadbiran PBT, persetujuan dan kelulusan PBT adalah dikecualikan tetapi masih lagi perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020. Pihak majikan atau pengendali penginapan perlu membuat pengesahan kesesuaian dan keselamatan bangunan secara penilaian kendiri (self-assessment) sebelum mengemukakan permohonan kelulusan perakuan penginapan kepada JTK Semenanjung Malaysia.

 

13. Adakah perlu untuk memohon Permit Khas daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi kebenaran penggunaan yang lain dari syarat tersirat dan syarat nyata yang ditetapkan?

Jawapan:

Ya. Perlu mendapatkan kelulusan Permit Khas daripada PBN bagi kebenaran penggunaan yang lain dari syarat tersirat dan syarat nyata yang ditetapkan atas tanah berhak milik di bawah Seksyen 116, Seksyen 117 dan Seksyen 120, KTN 1965 (prosedur adalah tertakluk kepada PBN).

 


SOALAN LAZIM (FAQ) MENGENAI
SOP PUSAT SETEMPAT (OSC) PBT BAGI MENJALANKAN OPERASI SEKTOR PEMBINAAN DI DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN KETIGA (PKP 3.0) DAN PASCA PKP 3.0

1. Adakah SOP ini perlu dilaksanakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan Jabatan/ Agensi Teknikal yang terlibat dalam sektor pembinaan sepanjang tempoh PKP dan pasca PKP?

Jawapan:

Ya, SOP ini hendaklah dilaksanakan oleh semua PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal sebagai satu norma baharu dalam sektor pembinaan sepanjang tempoh PKP dan pasca PKP. Walaubagaimanapun pelaksanaannya hendaklah selaras dengan SOP KKM dan perkara 8 dalam Nota Utama SOP ini.

 

2. Selain daripada 13 senarai Sektor Pembinaan Dan Perkhidmatan Berkaitan Pembinaan yang telah diluluskan oleh MITI, adakah SOP ini juga merangkumi projek baharu yang dirancang tetapi belum mengemukakan permohonan kepada PBT?

Jawapan:

Ya, SOP ini disediakan bagi memberi panduan kepada semua projek baharu yang belum mengemukakan permohonan kepada PBT bagi pertimbangan kelulusan.

 

3. Adakah pemohon perlu mematuhi semua senarai semak dokumen yang ditetapkan oleh PBT bagi memastikan permohonan diterima secara rasmi oleh OSC Pihak Berkuasa Tempatan?

Jawapan:

Ya, pemohon hendaklah menyediakan semua senarai semak dokumen yang ditetapkan dalam Manual OSC 3.0 Plus sebelum mengemukakan permohonan kepada OSC PBT.

 

4. Sekiranya di dalam salah satu senarai semak dokumen tersebut melibatkan keperluan menyediakan atau mendapatkan pengesahan maklumat/ kelulusan laporan dari Jabatan/ Agensi Teknikal lain seperti kelulusan laporan EIA, TIA, SIA dan lain-lain, adakah ia boleh dikecualikan?

Jawapan:

Tidak. (Pemohon hendaklah melengkapkan semua keperluan senarai semak dokumen yang ditetapkan dengan berurusan dengan mana-mana Jabatan/ Agensi Teknikal yang berkaitan).

 

5. Bagi PBT yang tidak mempunyai fasiliti pembayaran secara online, adakah bayaran melalui medium baucar seperti cheque, bank deraf, wang pos dan lain-lain boleh digunakan dan transaksi dilaksanakan di kaunter OSC?

Jawapan:

Ya, berdasarkan kepada ketetapan PKPB yang membenarkan pejabat kerajaan beroperasi telah membolehkan kaunter-kaunter pejabat kerajaan dibuka. Walau bagaimanapun ia adalah tertakluk kepada pematuhan SOP yang digariskan oleh KKM. Namun bagi PBT yang mempunyai kemudahan bayaran secara online tidak digalakkan untuk menerima bayaran di kaunter. PBT hendaklah mengeluarkan Bil dan maklumkan kepada pemohon bagi menjelaskan pembayaran dan apabila pembayaran telah dibuat PBT hendaklah mengeluarkan resit rasmi untuk diserahkan kepada pemohon secara atas talian keseluruhannya. PBT adalah digalakkan untuk menyediakan kemudahan online.

 

6. Adakah pemohon perlu mengemukakan salinan hardcopy semua dokumen-dokumen permohonan kepada PBT selepas OSC membuat semakan dan mengesahkan dokumen secara atas talian sebelum permohonan diterima secara rasmi dan diedar kepada jabatan/ agensi yang berkaitan bagi mendapatkan ulasan?

Jawapan:

Selaras dengan peruntukkan undang-undang yang berkuatkuasa pengemukaan salinan hardcopy dokumen-dokumen permohonan kepada PBT adalah satu keperluan mengikut subseksyen 21(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172 dan UUK 8 Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1986. Walau bagaimanapun PBT boleh mengecualikan pengemukaan salinan hardcopy tertakluk kepada kompleksiti dan intensiti sesuatu permohonan untuk disemak sebelum mengeluarkan ulasan.

PBT hendaklah menetapkan kaedah yang menepati SOP KKM bagi pengendalian transaksi penerimaan dokumen sekiranya masih memerlukan salinan hardcopy tersebut seperti mekanisme hantaran kurier/poslaju dan penyediaan ruang khas/ konsep ‘pigeon hole’ di kaunter pejabat PBT. Manakala bagi Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran penerimaan dokumen hanya dalam bentuk sotfcopy yang diedarkan oleh OSC secara atas talian.

 

7. Adakah PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal perlu membuat lawatan tapak bagi mengenalpasti butiran terperinci tapak pemajuan sebelum mengeluarkan ulasan teknikal terhadap permohonan cadangan pemajuan?

Jawapan:

Lawatan tapak untuk mengenalpasti butiran terperinci tapak pemajuan bagi tujuan mengeluarkan ulasan teknikal yang tepat dan selaras dengan merit cadangan pemajuan adalah dibolehkan tertakluk kepada pematuhan SOP yang digariskan oleh KKM. PBT juga boleh menetapkan kaedah yang sesuai untuk diselaraskan dengan keperluan SOP CIDB dan penetapan JKKN.

 

8. Adakah pemohon termasuk SP/ PSP boleh membuat siasatan tapak untuk mendapatkan maklumat dan data terperinci secara primer bagi menyediakan laporan, pelan dan dokumen yang lengkap sebelum mengemukakan permohonan kepada PBT?

Jawapan:

Ya, walau bagaimanapun ia hendaklah tertakluk kepada surat kebenaran MITI terhadap syarikat bagi menjalankan operasi dalam sektor pembinaan.

 

9. Sekiranya syarikat perunding profesional (SP/ PSP) tidak mendapat/ belum mendapat kebenaran dari pihak MITI, adakah mereka masih boleh mengemukakan permohonan secara online kepada PBT termasuk berurusan dengan mana-mana Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran secara atas talian?

Jawapan:

Ya, prosedur permohonan secara online termasuk sebarang urusan dengan PBT atau Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran tanpa transaksi fizikal selaras dengan SOP ini serta tidak melanggar peraturan PKP atau PKPB yang digariskan adalah dibenarkan sebagai satu norma baharu untuk memulakan semula sektor ekonomi yang terjejas disebabkan pelaksanaan PKP.

 

10. Adakah semua pihak yang terlibat dalam urusan kelulusan pelan-pelan pemajuan dan mendapatkan permit pembinaan ini masih tertakluk kepada norma masa atau KPI yang ditetapkan di dalam OSC 3.0 Plus?

Jawapan:

Ya, semua pihak iaitu PBT, Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran dan SP/ PSP hendaklah mematuhi KPI tempoh masa yang ditetapkan di dalam OSC 3.0 Plus.

 

11. Pelaksanaan Mesyuarat Jawatakuasa OSC yang dilaksanakan secara atas talian bolehkah diadakan tanpa kehadiran Ahli Majlis? Bagaimanakah dengan kehadiran ahli-ahli jawatankuasa yang lain melalui kaedah mesyuarat secara atas talian ini?

Jawapan:

Boleh, kehadiran atau penglibatan ahli majlis dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC sama ada di dalam kaedah biasa atau secara atas talian adalah tidak wajib sebagai memenuhi kuorum mesyuarat. Ini kerana pembentukan Jawatankuasa OSC di setiap PBT di bawah seksyen 28 Akta Kerajaan Tempatan 1974, Akta 171 yang menetapkan 4 orang ahli majlis sebagai anggota tetap dan 2 orang ahli majlis sebagai pemerhati tidak menepati bilangan minimum penetapan kuorum bagi sesuatu Jawatankuasa PBT sebagaimana keperluan seksyen 24 Akta 171.

Kehadiran wajib bagi mesyuarat Jawatankuasa OSC ialah Pengerusi (Datuk Bandar/ Yang Dipertua), Setiausaha Jawatankuasa OSC (Ketua Unit OSC), Jabatan Dalaman PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal Luaran. Walau bagai manapun PBT boleh menetapkan hanya keberadaan Pengerusi, Setiausaha Jawatankuasa OSC dan Urusetia Mesyuarat sahaja berada di pejabat PBT. Manakala ahli-ahli jawatankuasa yang lain digalakkan berada di kediaman masing-masing berdasarkan konsep ‘Work Frome Home'.

 

12. Adakah Mesyuarat Pra Jawatankuasa OSC secara online bagi tujuan menyelaras ulasan-ulasan teknikal antara jabatan/ agensi teknikal serta mendapatkan maklumbalas daripada pemohon perlu diadakan sebelum pertimbangan bagi kelulusan diangkat ke dalam Jawatankuasa OSC?

Jawapan:

Ya, Mesyuarat Pra Jawatankuasa OSC secara online perlu dilaksanakan sebagaimana norma biasa bagi memastikan isu-isu teknikal cadangan pelan pemajuan dapat diselaraskan untuk memastikan mesyuarat Jawatankuasa OSC secara online mudah membuat pertimbangan bagi kelulusan terutama dalam tempoh PKP.

 

13. Adakah Mesyuarat Jawatankuasa OSC boleh membuat keputusan tolak disebabkan oleh faktor kelewatan pemohon mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh Jawatankuasa OSC disebabkan oleh sebarang kekangan dan halangan berikutan pelaksanaan PKP?

Jawapan:

Tidak, pertimbangan sesuatu pelan pemajuan tidak boleh mengambilkira faktor kelewatan sebagai alasan bagi memberi penolakan. Sekiranya PBT berpuashati bahawa satu tempoh yang munasabah telah diberi dengan sewajarnya berdasarkan norma masa yang ditetapkan dalam prosedur OSC 3.0 plus dan pemohon masih gagal mematuhi mana-mana aspek teknikal yang ditetapkan oleh Jawatankuasa OSC, maka pertimbangan disebabkan oleh kegagalan pemohon mematuhi aspek keperluan teknikal hendaklah diambilkira sebagai faktor penolakan.

 

14. Adakah pemohon masih perlu menyediakan salinan hardcopy dokumen-dokumen akhir bagi dimeterai oleh Pihak Berkuasa Tempatan selepas Jawatankuasa OSC memberikan kelulusan penuh?

Jawapan:

Ya, semua dokumen yang diberikan kelulusan oleh PBT hendaklah dimeterai secara rasmi sebelum diserahkan semula kepada pemohon. Pemohon mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan jumlah salinan hardcopy mengikut ketetapan PBT. PBT hendaklah menetapkan kaedah yang menepati SOP KKM bagi pengendalian transaksi penerimaan dokumen dari pemohon dan serahan dokumen kepada pemohon seperti mekanisme hantaran kurier/ poslaju dan penyediaan ruang khas/ konsep ‘pigeon hole’ di kaunter pejabat PBT. Keperluan ini adalah selaras dengan seksyen 46, 47 dan 48 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172 dan seksyen 118, 119 dan 120 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta 133.

 

15. Adakah Jabatan/ Agensi Teknikal di negeri dan daerah akan beroperasi bagi menjalankan fungsinya terutama yang berkaitan dengan proses dan prosedur yang melibatkan OSC?

Jawapan:

Ya, bagi Jabatan/ Agensi Teknikal di bawah bidang kuasa persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menjalankan operasinya selaras dengan surat arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam: OPERASI PEJABAT KERAJAAN SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB), No. Rujukan: JPA.SARAAN(S)256/6/31 JLD.6 (6) bertarikh 2 Mei 2020. Walau bagaimanapun pelaksanaannya tertakluk kepada pihak berkuasa masing-masing iaitu Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

16. Melalui pelaksanaan PKP 3.0, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menggariskan sektor pembinaan yang mempunyai kemudahan penginapan pekerja di atas tapak bina (TLQ) atau pekerja yang menginap di kuaters pekerja berpusat (CLQ) dibenarkan untuk beroperasi. Adakah pemaju masih dibenarkan untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan permit sementara bagi rumah pekerja di atas tapak bina dalam tempoh PKP ini?

Jawapan:

Ya, sejajar dengan arahan Kerajaan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan termasuk di PBT hendakklah terus berjalan dengan kapasiti 20% beroperasi dari pejabat dan 80% beroperasi dari rumah. Pengemukaan permohonan bagi mendapatkan kelulusan permit sementara bagi rumah pekerja di atas tapak bina hendaklah mengikut PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) PERMOHONAN PERMIT SEMENTARA BANGUNAN BAGI RUMAH PEKERJA DALAM TAPAK BINA yang telah disediakan oleh KPKT dan berkuatkuasa pada 18 Disember 2020. Setiap permohonan hendaklah dikemukakan secara atas talian melaui Sistem OSC Online 3.0 Plus kepada setiap PBT yang berkenaan dan hendaklah diproses mengikut prosedur yang telah ditetapkan.