Perutusan Ketua Pengarah

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Malaysia MADANI,

Selamat datang ke portal rasmi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). Laman web ini merupakan salah satu medium komunikasi di antara JKT dan masyarakat umum sebagai saluran penyebaran maklumat utama organisasi kepada orang awam.  JKT amat menitikberatkan aspek ketepatan maklumat dan kemudahan dalam melayari portal serta mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan portal ini. Saya berharap portal ini dapat memberikan maklumat dan kemudahan kepada pelanggan untuk mengakses informasi terutamanya berkaitan peranan JKT untuk membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan perkhidmatan perbandaran demi kesejahteraan rakyat. 

JKT telah mencatat rekod dan pencapaian yang membanggakan bagi tahun 2023 apabila berjaya memenangi Tempat Pertama (Trek Ekonomi) bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AinSA) 2023 melalui projek PBTPay dan Anugerah Organisasi Paling Responsif sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 (AKM 2023). JKT juga telah melaksanakan pelbagai program bagi melonjak dan memajukan PBT melalui proses pembangunan fizikal, sosio ekonomi dan kesihatan setempat bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat seperti MyKiosk, OSC 3.0 Plus dan pelaksanaan projek-projek BP.1. Di samping itu, pelbagai program utama telah dilaksanakan dengan jayanya dan memberikan impak yang positif seperti Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2023, Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia KPKT Tahun 2023 dan Anugerah Toilet Of The Year 2023 (TOTYA23).

Sempena kehadiran tahun baharu 2024 ini, saya berharap agar JKT terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. JKT komited untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan. Empat (4) fokus utama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi tahun 2024 adalah seperti berikut:

  1. Kesejahteraan Rakyat Keutamaan KPKT;
  2. Infrastruktur yang Meningkatkan Kebahagiaan Rakyat;
  3. Pembangunan Bandar Lestari; dan
  4. Kerajaan Tempatan yang responsif.

Di samping itu, terdapat enam (6) inisiatif utama KPKT bagi Kerangka Strategik Malaysia MADANI iaitu meliputi:

  1. Penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) KPKT;
  2. Meningkatkan Program Penyelenggaraan Perumahan Berstrata;
  3. Pelaksanaan Penarafan Bandar Pintar Malaysia;
  4. Pelaksanaan Operasi Pembasmian Berterusan Tapak Pelupusan Sampah Haram;
  5. Pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran; dan
  6. Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus di PBT.

Saya juga ingin memberi penekanan kepada kepentingan kerjasama yang kuat dalam Pasukan JKT bagi memastikan kejayaan yang lebih tinggi. Oleh itu, setiap warga JKT perlu berganding bahu mencapai tahap kecekapan dan kualiti kerja yang tinggi melalui tiga elemen utama iaitu perancangan tersusun, pelaksanaan yang cepat dan pelan komunikasi berkesan. Selain itu saya juga ingin menekankan aspek tadbir urus yang baik serta berintegriti dalam penyampaian perkhidmatan awam. Pengukuhan tadbir urus melalui ketelusan dan akauntabiliti merupakan teras kecemerlangan sesebuah organisasi dan menutup ruang kepada wujudnya persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam. Justeru, budaya kerja berintegriti haruslah diterapkan dan diberi keutamaan terutamanya dalam memerangi rasuah dalam perkhidmatan awam. 

Saya juga berharap agar warga JKT dapat mengoptimumkan sepenuhnya penggunaan aplikasi digital bagi merealisasikan pendigitalan sektor awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam bagi menghasilkan kualiti kerja yang terbaik.

Akhir kata, semoga seluruh warga JKT terus istiqamah dalam menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam yang unggul berpaksikan integriti seterusnya menjadikan JKT sebagai salah satu agensi terbaik dalam perkhidmatan awam.

Selamat melayari portal Jabatan Kerajaan Tempatan.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali
Ketua Pengarah
Jabatan Kerajaan Tempatan