Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah berjaya menganjurkan Sesi Training of Trainers (ToT) Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2025 bagi Zon Utara. Sesi ini berlangsung pada 21 dan 22 Januari 2025 (Selasa dan Rabu) di Berjaya Penang Hotel, George Town, Pulau Pinang melibatkan sebanyak 29 PBT dari Zon Utara.
Sesi ToT ini bertujuan untuk memberikan latihan awal serta bimbingan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai penggunaan Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) yang baharu. Sistem ini dibangunkan oleh JKT bagi menggantikan kaedah turun padang yang dilaksanakan sebelum ini. Dengan sistem ini, proses penilaian dijangka akan menjadi lebih efisien dan sistematik. Latihan ini merangkumi sesi penerangan, simulasi dan perbincangan interaktif untuk memastikan para peserta memahami sepenuhnya mekanisme sistem SPB-PBT yang baharu.
JKT percaya bahawa pelaksanaan sistem SPB-PBT yang baharu ini akan membawa perubahan positif dalam penilaian dan pengiktirafan PBT selaras dengan visi untuk memperkasakan perkhidmatan awam di peringkat tempatan. Komitmen dan penyertaan aktif daripada semua PBT yang terlibat menunjukkan kesungguhan mereka dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Pihak JKT mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan sesi ini terutamanya kepada MBPP sebagai rakan penganjur dan juga kepada para peserta yang telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang program berlangsung.
© Hakcipta terpelihara 2024, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT KPKT)
PENAFIAN: JKT tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini dengan resolusi minima 1366×768