
29 Oktober 2026 | Temerloh
Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) menerima kunjungan kerja Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), YH. Dato’ Sri Mohd Fadzli bin Mohd Kenali bagi meninjau beberapa projek pembangunan dan kemudahan awam di bawah pentadbiran MPT.
Lawatan kerja tersebut turut disertai Yang Dipertua MPT, Tuan Rizal bin Mustafa, Ahli-Ahli Majlis MPT, barisan pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai jabatan berkaitan. Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Rumah Kucing MPT di Taman Tasik Chatin, Mentakab, yang melibatkan sesi taklimat berkaitan pembinaan kemudahan berkenaan serta majlis penyerahan Rumah Kucing daripada QM Zack Enterprise kepada MPT.
Program diteruskan dengan sesi walkabout ke Kiosk MPT, Taman Temerloh Jaya, termasuk penyampaian cenderamata kepada peniaga kiosk sebagai tanda penghargaan terhadap penglibatan komuniti peniaga setempat.
Delegasi turut mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Temerloh Sentral bagi meninjau lokasi cadangan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam yang dirancang di daerah Temerloh.
Lawatan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara JKT dan MPT, khususnya dalam usaha mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan perbandaran, pembangunan infrastruktur serta penyediaan kemudahan awam yang memberi manfaat kepada masyarakat.

© Hakcipta terpelihara 2024, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT KPKT)
PENAFIAN: JKT tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini dengan resolusi minima 1366×768